fbpx

Prosedur Nikah Negeri Perak

Kami kongsikan kepada anda mengenai Prosedur Nikah di Negeri Perak melalui perkongsian blogger Kisah Hati oleh Marliyana Mahmud

“Salam Semua 👱 Jumpa lagi kat 3rd part. Part 3 : Kali ni sis nak kongsi sikit panduan tentang prosedur nikah yang sis dan tunang sis dah lalui untuk permohonan bernikah kami. Sis sorang sahaja orang Perak, jadi nak tak nak bakal suami sis kena isi manual, macam sis kena la isi borang permohonan Kebenaran Berkahwin Online di laman SPPIM ni, Borang Kebenaran Berkahwin…”

Berdasarkan blog’s post mengenai pengalaman beliau tentang prosedur nikah di negeri Perak, kami terpanggil untuk berkongsi secara ringkas prosedur terkini bagi tahun 2020. Untuk pengetahuan semua, negeri Perak adalah antara negeri yang tertakluk menggunakan sistem SSPIM dalam menguruskan permohonan pengurusan perkahwinan termasuk Permohonan Kebenaran Berkahwin. Manakala, bagi pasangan yang terkecuali dari sistem ini, sila rujuk cara permohonan mengikut negeri masing-masing. Oleh itu, sila rujuk dengan jabatan agama dan negeri masing-masing untuk keterangan lanjut. Bagi bakal-bakal pengantin yang akan bernikah di negeri Perak, berikut adalah ringkasan dan peringatan senarai keperluan penting untuk pernikahan dan tidak merangkumi persediaan majlis.  

Nota : Tempoh Sah Kebenaran Berkahwin adalah sembilan
puluh ( 90 ) hari dari tarikh dikeluarkan. So, pasti anda dah pilih tarikh dan jangan buat permohonan terlalu awal. 

1. Pilih tarikh

Kepada yang telah bertunang, tahniah diucapkan.  Sebelum mendaftar permohonan kebenaran nikah, pilih tarikh pernikahan terlebih dahulu. Samaada sudah bertunang atau tidak, anjurkan perbincangan antara keluarga kedua-dua belah pihak. Kebanyakan pasangan gemar memilih tarikh perkahwinan yang mudah diingati. Namun perkara ini harus dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak terutama ibu-bapa dan bakal mertua. Telah menjadi kebiasaan juga, pasangan untuk memilih tarikh pada musim cuti persekolahan bagi memudahkan kehadiran sanak-saudara dan sahabat handai. 

Tips : Bagi mereka yang ingin menjimatkan kos, elakkan dari memilih tarikh pada musim perayaan. Hal ini kerana harga barang pada musim ini mungkin sekali gus meningkatkan kos perbelanjaan kenduri anda.

2. Permohonan online (BNO)

Buat Permohonan Baru, muat naik gambar dan isikan maklumat yang diperlukan. Borang Benar Nikah Online ini dikongsikan bersama pasangan, oleh itu borang hanya perlu diisi oleh SALAH SEORANG SAHAJA bagi pasangan atau diri (yang bermastautin lebih 90 hari di Negeri Sembilan, Melaka, Perlis, Kedah, Perak Dan Wilayah Persekutuan [Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan]).

Pautan : Halaman Utama SSPIM

Pautan : Permohonan Kebenaran Berkahwin Online atau Benar Nikah Online (BNO)

Selepas selesai mengisi borang, anda dimaklumkan status permohonan dan lokasi pejabat agama (bergantung kepada dearah alamat yang diisi). Disini juga anda boleh mencetak senarai semak untuk dilampirkan bersama-sama borang kebenaran ini semasa menghantar borang tersebut . Ambil perhatian juga berkaitan senarai ini adalah berbeza untuk lelaki dan perempuan.

Nota : Jangan skip permohonan ni ya. Bernikah tanpa kebenaran mungkin sah disisi agama, tapi di sisi undang boleh disabit kesalahan dengan hukuman denda atau penjara. Denda tidak melebihi RM1000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya. 

3. Kursus Pra Perkahwinan

Sijil Kursus Pra Perkahwinan merupakan antara keperluan dalam senarai dokumen yang perlu dilampirkan bersama semasa menghantar borang kebenaran nikah. Untuk mendapatkan sijil ini, diwajibkan bagi setiap individu untuk mengikutikursus pra perkahwinan ini. Setiap module kursus pra perkahwinan telah ditetapkan oleh setiap negeri. Boleh diambil di mana-mana tempat yang berdaftar oleh Jabatan Agama Islam seperti Hasani Management. Kebiasaannya kursus ini berlangsung selama 2 hari. Setelah selesai khusus tersebut, sijil akan diberikan.

Nota : Sijil ini sah-laku seumur hidup, so kalau nak ambil kursus awal pun tak ada masalah. Yang penting jangan hilangkan.

4. Ujian Saringan HIV

Dicadangakan sebelum pergi ke klinik kesihatan untuk membuat ‘appointment’ terlebih dahulu kerana terdapat had limit berapa orang sahaja yang akan diuruskan untuk membuat ujian saringan tersebut. Oleh itu, rancang masa anda dengan baik.

Ujian saringan HIV hanya boleh dilakukan di Klinik Kesihatan kerajaan sahaja. Borang pengesahan akan disediakan oleh pihak klinik kesihatan dan perlu dilengkapkan, namun bawa juga bersama borang permohonan kebenaran yang perlu diisi. Ujian Saringan HIV boleh diambil bersama pasangan atau secara individu. 

Setelah selesai ujian saringan HIV, doktor atau pembantu perubatan akan memberi keputusan ujian tersebut pada hari yang sama. Seterusnya, borang original yang dilengkapkan oleh doktor perlu disertakan bersama borang yang lain kerana borang tersebut salah satu syarat untuk mendaftar perkahwinan nanti. 

5. Gambar

Sediakan lebih dari yang diperlukan dalam senarai semak borang. Hal ini kerana setelah selesai akad nikah, gambar anda dan pasangan mungkin akan diminta oleh Imam atau Tok Kadi untuk keperluan borang tersebut dihantar ke jabatan agama islam mengikut tempat negeri dinikahkan.  

6. Jurunikah

Tentukan siapa yang anda perlu berurusan. Menjadi kebiasaan juru nikah yang dilantik adalah mengikut kawasan ‘kariah’ masing-masing. Boleh rujuk imam dan tok naib kadi. Untuk maklumat saksi juga boleh rujuk kepada imam tersebut untuk mendapatkan kepastian sama ada saksi dipilih sendiri atau dipilih imam. Jangan lupa untuk kenal pasti siapa dan tertib wali anda juga.

Semasa ini juga, dokumen dan borang boleh disiapkan sekali gus untuk dihantarkan kepada juru nikah. Namun perlu pastikan, salinan borang kebenaran (pihak lelaki) disahkan terlebih dahulu untuk dihantarkan bersama-sama borang kebenaran (pihak perempuan).

7. Dokumen dan Borang

Borang lengkap perlu dihantar kepada imam atau jurunikah. Sebaiknya dihantar awal sebulan sebelum hari nikah supaya tidak bertindih waktu dengan pasangan lain. Hal ini kerana, boleh terjadi pada musim orang berkahwin, akan banyak imam atau jurunikah untuk menikahkan orang. Jika hantar borang lambat, akan jadi masalah kerana setiap majlis telah diatur acara waktu untuk berlangsung.  

Diharapkan agar perkongsian ini dapat membantu sedikit sebanyak bakal pengantin dalam persiapan urusan pernikahan. Jangan risau, sekirannya anda masih terdapat perkara-perkara yang kurang jelas berkenaan prosedur nikah di negeri Perak, anda masih boleh mengetahui secara lanjut melalui kursus pra-perkahwinan atau merujuk jabatan-jabatan agama  islam di tempat masing-masing.

Jangan lupa tempah kad undangan majlis dengan Moosh. Untuk melihat Katalog Kad kahwin Ipoh by Moosh klik disini

Koleksi contoh kad kahwin 2020 by Moosh klik disini

Kredit: Kisah Hati




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *